#TOKOH ~ (Video) Hasan Azhari…Pemuda Yang Melaungkan Azan Waktu Pengisytiharan Merdeka!

“Saya masih tidak dapat melupakan detik bersejarah itu hingga ke hari ini dan ketika saya mengalunkan azan pada tarikh keramat sejurus laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengalir air mata saya membasahi pipi.

“Mengalirnya air mata itu bukannya kerana sedih tetapi gembira kerana negara pada saat dan ketika itu telah merdeka dan rakyatnya memerintah serta menguruskan negara sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat,” kata individu yang mengalunkan laungan azan pada hari pengisytiharan kemerdekaan, Tan Sri Hasan Azhari.

Menceritakan kisah manisnya itu pada ketika umurnya 25 tahun, beliau menambah sehari sebelum pengisytiharahan kemerdekaan di Stadium Merdeka, beliau telah didatangi oleh mereka yang bertanggungjawab menjayakan hari kemerdekaan itu dan memaklumkan bahawa beliau akan mengalunkan azan pada hari tersebut.

“Bayangkan betapa gementarnya pada saat itu dan saya pada malam berkenaan “berlatih” dengan pelbagai taranum bagi memastikan kelancaran pada hari bersejarah itu, pada awal pagi lagi, saya telah dibawa ke Stadium Merdeka dan melihat orang ramai telah membanjiri Stadium berkenaan.

“Dan setelah menerima isyarat sejurus laungan merdeka dan lagu Negaraku, saya terus melaungkan azan dan pada waktu air mata mengalir membasahi pipi dan bersyukur kepada Allah,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama UMNO-Online.

Beliau yang kini masih lagi aktif dalam mengajar ilmu Al-Quran adalah antara hakim paling veteran di Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 seterusnya menambah laungan azan dan diiringi bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan pada hari pengisytiharan kemerdekaan negara menunjukkan ianya tidak lari daripada Islam.

Malah tegas beliau ianya memperlihatkan bagaimana sejarah kemerdekaan negara turut diiringi dengan asas Islam dan ianya masih berterusan hingga ke hari ini.

“Bukankah kita dapat lihat yang mana sebelum acara rasmi baik di dalam kerajaan atau pun mana-mana tempat, sebelum apa jua acara masjlis dimulakan, ianya didahului dengan bacaan doa. Ianya adalah untuk memohon kesejahteraan daripada Allah.

“Jadi apa yang saya nak kongsi di sini, Islam sudah diketengahkan pada hari bersejarah dan saya sendiri antara yang terlibat apabila melaungkan azan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata kemerdekaan negara perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun kerana ianya telah menjadikan Malaysia hari sebagai sebuah negara yang berdaulat dan makmur.

“Tiap kali berlalunya 31 Ogos, saya masih terkenangkan peristiwa lalu dan saat bersejarah itu. Kepada rakyat Malaysia pertahankan kemerdekaan negara dan jangan sesekali meruntuhkannya,” katanya.




Biodata Tan Sri Hassan Azhari

– Dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah pada 18 Ogos 1928.

– Ayahnya bernama Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani dan Padang, Indonesia.

– Dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama.

– Mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

– Antara guru beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)

– Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan.

– Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor.

– Menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.

– Menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi.

– Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.

– Kemudian mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir.

– Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

– Melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

– Melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.



Credit : Syahrilkadir.Com

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: