#TEKNOLOGI ~ Pembelajaran maya mod teradun UUM

PEMBELAJARAN secara horizontal dan vertikal menggunakan pembelajaran maya telah mewujudkan satu landskap baru dalam sistem pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi telah menggunakan slogan Soaring Upwards atau Peningkatan Berterusan sebagai usaha melonjakkan pendidikan tinggi di negara kita ke tahap lebih progresif dan dinamik.

Seruan slogan ini memang tepat pada masanya. Dalam dunia pendidikan dan ilmu yang sedang meningkat maju, pembelajaran secara maya (e-learning) telah menjadi corak pendidikan prototaip yang semakin diminati.

Sinonim perkembangan ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) juga tidak ketinggalan mengaplikasikan pembelajaran maya dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran semasa kuliah.

Sebagai universiti pengurusan terkemuka, UUM mempunyai misi untuk menjadikan pelajar sebagai pemimpin yang holistik dan berbakti kepada komuniti global.

Misi ini bukanlah satu perkara mudah dilakukan. UUM terpaksa menghadapi pelbagai cabaran pengaplikasian dan mobiliti pemikiran. Komuniti global dilahirkan UUM, dibekalkan pelbagai ilmu dunia dan pegangan insaniah yang tinggi.

Jika diperhatikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) (PPPM), lonjakan ke-9 dan ke-10 menunjukkan bagaimana universiti awam perlu memainkan peranan dalam mentransformasikan penyampaian pendidikan dari pembelajaran tradisional kepada kaedah pembelajaran pemprosesan maklumat, pembelajaran konstruktivisme dan meta kognisi. Kesemua kaedah ini disatukan dalam pembelajaran maya (e-learning) yang dikenali Blended Learning atau Pembelajaran Maya Mod Teradun/Campuran (PMMA).

Pembelajaran maya mod teradun di UUM menyaksikan peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti, penyampaian kursus yang cekap dan pembinaan jenama pendidikan Malaysia seperti dinyatakan dalam lonjakan ke-9 PPPM.

Pendekatan pembelajaran ini juga menepati lonjakan ke-10 PPPM yang menumpukan pembelajaran dalam tahap global. Tidak perlu membawa nota atau buku ke kuliah. Semua dokumen pembelajaran, nota, latihan, forum dan interaksi dua hala dimuat naik dalam peranti teknologi komunikasi.

Dari kerja kursus sehingga ke forum, pembelajaran dalam kalangan pelajar dibuat melalui pembelajaran maya mod teradun.


Bagi melaksanakan Massive Open Online Courses atau MOOC, Kementerian Pendidikan Tinggi telah menaruh harapan terhadap universiti awam untuk mencapai 70% penggunaan PMMA.

Kajian saya selama dua tahun mengenai PMMA sejak 2015 di UUM membuktikan pelajar menjadi lebih matang dalam pemberian idea dan berfikiran kritis serta berupaya menjadi pemimpin peneraju industri dalam mentransformasikan ilmu pendidikan tinggi.

Keperluan 'penyuburan-campuran' atau cross-fertilisation yang diaplikasikan melalui PMMA ini jelas memenuhi aspek konseptualisasi ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam mengamalkan pembaharuan pembelajaran maya ini, usaha naib canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak tidak boleh dilupakan.

Beliau harus dipuji kerana telah mengubah persepsi masyarakat tempatan dan luar negara terhadap UUM dengan merubah pembangunan pendidikan dan insaniah ke tahap yang lebih tinggi.

Di bawah Dasar Pembangunan UUM, Teras Kedua Pelan Strategik UUM, beliau telah melaksanakan transformasi pendidikan maya dengan berkesan di UUM mengikut acuan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menyempurnakan penambahbaikan kepada sistem penarafan institusi melalui pembelajaran global.

Malah beliau juga memastikan pembelajaran maya mod teradun diamalkan dalam bidang penyelidikan dan hubungan masyarakat.

Oleh kerana kemajuan pembangunan masyarakat menjadi agenda penting UUM, maka apa jua pembaharuan dilakukan di institusi ini dikongsi dengan komuniti global.

UUM boleh menjadi role model kepada sekolah rendah dan menengah di Malaysia dalam penggunaan PMMA di mana pelajar tidak perlu menggunakan buku atau membawa beg ke kelas.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan boleh menggunakan kepakaran unit pengkomputeran UUM untuk membantu sekolah rendah dan menengah dalam PMMA walaupun pembelajaran persekitaran maya Frog (VLE) dan 1BestariNet telah disediakan di sekolah-sekolah.

Justeru, walau dalam apa keadaan pun, UUM telah dianggap menjadi perintis di bahagian utara Malaysia dalam pendidikan maya. Penggunaan teknologi pendidikan canggih dengan akses internet yang cepat memudahkan pelajar mendapat maklumat global.

Citra UUM adalah seperti singa yang sentiasa berani menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan. Melalui PMMA, pelajar dipercayai dapat mencapai moto UUM iaitu ilmu, budi dan bakti dan mentransformasikan diri mereka menjadi matang dan menghadapi masa depan yang mencabar.

-DR. MOHAN A/L RATHAKRISHNAN- [SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: