#PENDEDAHAN ~ Guru saya Ahmad Deedat minta pelajari, dalami agama lain - Dr Zakir Naik

Dr Zakir Naik. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

DR Zakir Naik mendedahkan gurunya, Allahyarham Ahmed Deedat, yang juga penceramah terkenal dunia berpesan kepadanya supaya mempelajari dan mendalami agama lain bagi mencari persamaan serta perbezaan dengan agama Islam.

Beliau berkata, Ahmed memintanya berbuat demikian kerana beliau pakar dalam agama Kristian.

“Kali pertama saya bertemu dengan Ahmed semasa sedang belajar di sebuah kolej perubatan.

“Dalam pertemuan itu, beliau minta saya belajar agama lain, selain Kristian. Jadi, saya terima permintaan tersebut,” katanya, semalam.

Sejak itu menurutnya, selain kitab Injil, beliau mengkaji kitab Veda, manuskrip Buddha dan beberapa kitab agama lain bagi memahami kesemua agama di dunia dan membandingkan dengan Islam.

Ditanya mengenai peribadi gurunya itu, beliau berkata, Ahmed adalah seorang yang merendah diri dan hebat peribadinya.

“Tiada keperluan untuk membandingkan kebolehan saya dengan kehebatan Ahmed. Bagi saya, beliau seorang dai’e yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada kita.

“Ahmed pernah beri plak penghargaan kepada saya kerana saya mempelajari banyak agama dalam tempoh empat tahun, berbanding Ahmed melakukannya untuk tempoh 40 tahun,” katanya.

Ditanya apakah rahsia dia mempelajari agama lain dengan pantas, jawab beliau, segalanya adalah dengan kehendak ALLAH.

“Semasa kecil, saya ada masalah gagap dan saya pernah gagal dalam peperiksaan. Tetapi, kita perlu percaya, semakin banyak kerja yang kita lakukan di jalan yang benar, semakin kuat kepercayaan kita terhadap ALLAH,” jelasnya.

Tolak tawaran tanah di Terengganu

DR Zakir Naik menolak tawaran pemberian tanah oleh Kerajaan Terengganu untuknya mendirikan pusat pengajian di negeri itu.

Menurutnya, dengan menerima tawaran tersebut, ia akan mengundang pelbagai persepsi, lebih-lebih lagi dari negara luar.

“Saya tak boleh terima. Tawaran yang sama ada juga datang daripada beberapa negara lain tetapi saya tidak menerimanya.

“Saya bimbang, andai terima di sini, negara lain akan berasa hati pula. Saya tidak mahu hubungan baik antara saya dan semua negara ini terjejas hanya kerana perkara sebegini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pernah berbincang secara lisan dengan pendakwah berasal dari Mumbai, India itu, namun belum ada sebarang permohonan dibuat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menunggu kertas cadangan lengkap daripada Dr Zakir sebelum membuat keputusan untuk memberikan pulau di Tasik Kenyir.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: