#VIRAL ~ Lagi kes panjat 'IPOH' dikesan di media sosial

SELEPAS kisah memanjat 'IPOH' oleh lapan sekawan menjadi viral beberapa minggu lalu, hari ini kisah sama berulang lagi.

Laman Instagram seorang pemuda memaparkan dia memanjat papan tanda gergasi 'IPOH' sambil berswafoto menerima pelbagai reaksi dari rakan-rakannya.

Menulis pada kapsyen gambar itu, “IPOH geli-geli... boleh laaa,” media sosial pemuda itu dihujani pelbagai respons yang antaranya menulis “mohon serah diri".

Dua keping gambar itu dimuat naik kira-kira 18 jam lalu.
Papan tanda IPOH yang terletak di tepi laluan lebuh raya menghala ke Selatan itu merupakan seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima maklumat lengkap berkaitan perkara itu.

“Saya akan kumpul maklumat kes ini dahulu termasuk identiti lelaki yang terlibat sebelum mengulas lanjut,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan remaja terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita bertindak memanjat papan tanda ‘IPOH’ yang kemudiannya menjadi viral di media sosial.

Lantaran tindakan berbahaya itu, pihak MBI membuat laporan polis kerana aksi mereka di situ tidak mendapat sebarang kebenaran.

Sementara pada 2 Januari lalu, satu video dan gambar 'memanjat' dikesan dengan lokasi dikenal pasti di sebuah tapak bangunan yang sedang dalam pembinaan, di Ipoh.

Menerusi video berdurasi 1 minit 22 saat yang dimuat naik dalam YouTube itu menunjukkan seorang lelaki berswafoto sambil memanjat sebuah kren yang digunakan dalam pembinaan bangunan itu.

MBI mengesahkan lokasi tersebut merupakan tapak pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) yang terletak berhampiran bangunan MBI.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: