#SENSITIVITI ~ Selipar Gandhi Dijual Amazon Cetus Kemarahan India

NEW DELHI – Selipar dengan wajah ikon kemerdekaan terkenal India, Mahatma Gandhi yang dijual menerusi Amzaon mencetuskan kemarahan di negara itu, menurut laporan media tempatan.

Ia berlaku beberapa hari selepas gergasi e-niaga secara talian antarabangsa itu didesak supaya segera menghentikan penjualan alas kaki dalam bentuk bendera India kerana dianggap sebagai tidak sensitif dan berbaur penghinaan.

Pada Rabu minggu lalu, kerajaan India mendesak Amazon agar meminta maaf kerana “menghina” bendera negara itu, dengan Menteri Ehwal Luar, Sushma Swaraj memberi amaran bahawa tindakan tegas juga akan dikenakan.

Amazon yang berpangkalan di Seattle, Washington State, Amerika Syarikat (AS) itu kemudian bertindak pantas dengan menurunkan segala produk yang dianggap menyinggung perasaan daripada laman sesawang rasminya.


Bagaimanapun kontroversi tersebut belum reda sepenuhnya apabila para pengguna Twitter pula mula memuat naik petikan gambar selipar Gandhi berwarna merah jambu dan turut dijual menerusi laman Amazon di AS.

Selipar itu, yang berharga AS$16.99 (kira-kira RM75.87), digambarkan oleh laman tersebut sebagai “dihasilkan secara profesional” dan adalah satu produk yang “kelihatan cantik dan boleh membuat seseorang tersenyum”.

Gandhi atau nama sebenarnya Mohandas Karamchand Gandhi merupakan bekas peguam serta tokoh pejuang kemerdekaan India daripada penjajahan Inggeris dan mendiang ditembak mati pada 1948 dalam usia 78 tahun.

Pihak pentadbir Amazon namun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen dengan lebih terperinci tetapi selipar tersebut sudah pun diturunkan daripada laman syarikat berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: